Wednesday, July 21, 2010

PENGENALAN LARUT, MATANG DAN SELAMA

Larut, Matang dan Selama merupakan sebuah daerah yang terletak di utara Negeri Perak. Daerah ini terletak bersempadan dengan Daerah Kerian di utara, Daerah Kuala Kangsar dan Daerah Manjung di selatan, Daerah Hulu Perak di timur, Selat Melaka di barat dan Negeri Kedah di utara. Pusat pentadbiran daerah adalah terletak di bandar Taiping yang merupakan antara bandar terawal di Malaysia. Daerah ini merangkumi 3 daerah kecil iaitu Larut di tengah dan selatan, Matang di barat dan Selama di utara dan mempunyai keluasan 151,104.03 hektar (170 kilometer persegi).

Mengikut sejarah, bandar Taiping telah dibangunkan oleh penjajah Inggeris pada awal tahun 1880-an yang mana pada ketika itu, daerah ini kaya dengan sumber hasil bijih timahnya di sekitar Sungai Larut. Sebelum kedatangan British, daerah ini (pada masa dahulunya dikenali sebagai Jajahan Larut) telah ditadbir oleh Menteri Larut iaitu Dato' Long Jaafar yang telah diberi kuasa oleh Sultan Perak pada ketika dulu untuk mentadbir jajahan ini. Long Jaafar telah membina pusat pentadbirannya di Bukit Gantang dan menjadikan Kuala Sg. Limau di Trong sebagai pelabuhan utama Jajahan Larut.

Apabila British menjajah negeri Perak sejurus Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874 di Pangkor, Jajahan Larut telah ditadbir oleh Kapten Tristam Speedy sebagai Penolong Residen British. Residen British Pertama di Perak adalah J.W.W. Birch pula mendiami Pasir Salak yang ketika itu dijadikan sebagai Pusat Pentadbiran British. Apabila peristiwa berdarah berlaku di Pasir Salak yang menyaksikan J.W.W. Birch dibunuh oleh pahlawan-pahlawan Melayu Perak yang diketuai oleh Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela pada 2 November 1875, pihak British telah memindahkan pentadbiran Negeri Perak ke Bandar Taiping pada 1880-an.

No comments:

Post a Comment